Monday, February 9, 2009

Senyuman

Senyuman yang terukir adalah cahaya dari hati. Hati yang bersih dan minda yang tenang mengukirkan senyuman yang indah.

Monday, February 2, 2009

Akhlak dan budi pekerti

Kecantikan akan pudar dimamah usia. Akhlak dan budi pekerti akan kekal, hingga ke mati pun akan dikenang orang. Itulah bezanya antara kecantikan lahiriah dan batin.

Awet muda

Manusia sering teruja apabila dikatakan cantik dan awet muda.Benarkah apa yang diucapkan itu? Ikhlaskah ungkapan mereka? Ada masanya janganlah terlalu percayakan kata-kata manusia, kerana manusia ada perasaan. Perasaan takut akan kedudukan seseorang, lantas mengampu melebihi hakikat. Justeru, pandanglah pada cermin, lihatlah sendiri,hitunglah sendiri garis kedut yang ada pada wajah. Cermin akan menyatakan yang sebenarnya kerana cermin tiada perasaan dan tidak takut pada sesiapa. Hatta yang berdarjat tinggi sekalipun, ia tidak akan gentar menunjukkan inilah wajah sebenar kita, berkedut di sana sini.Insaflah,itulah tanda-tanda awal panggilan kubur untuk kita.

Kecantikan

Kecantikan yang bergantung kepada paras wajah tidak akan kekal. Jangan sedih kalau kulit kita hitam atau wajah kita tak cantik pada pandangan mata kasar kerana kecantikan akan lahir dengan sendirinya apabila hati kita bersih, jiwa kita tenang, niat kita ikhlas.Didiklah minda kita agar sentiasa berzikir, peliharailah mata,lidah, kaki dan tangan kita daripada melakukan kemungkaran. Justeru, kecantikan akan datang dengan sendirinya kerana hanya mata hati yang bersih akan menyedari erti kecantikan sebenar

silaturrahim

Janganlah kita memutuskan hubungan silaturrahim kerana urusan dunia. Padahal silaturrahim itu adalah urusan akhirat. Memang senang nak memutuskan sesuatu yang tegang, tetapi amat sukar untuk menegangkan semula sesuatu yang telah putus

Dunia

Dunia ini ibarat padang permainan. Di sekitarnya dikelilingi pokok-pokok, tempat kita berteduh di kala kepenatan. Selesai bermain, kita akan pulang ke rumah. Di rumah itulah sebenarnya tempat kita berlindung dari hujan dan panas. Segala kemudahan dan keindahan yang ada di padang itu untuk kegunaan kita sementara bermain sahaja.Tidak kita bawa pulang. Yang kita bawa, adalah hasil dari permainan itu,gembira atau duka, seronok atau tidak,menang atau kalah, itulah yang kita rasa. Itulah dunia yang fana ini, bukan tempat kekal untuk kita bergembira.Sementara jasad masih bernafas, sediakanlah bekal secukupnya untuk hidup di rumah kita yang abadi, di sana nanti.

kehidupan

Beginilah kehidupan di dunia. kita terpaksa berpisah dengan ibu bapa dan keluarga tersayang, merantau ke negeri orang untuk mencari bekal bagi membesarkan anak-anak dan menyediakan kemudahan kita sekeluarga di depan hari. Itulah kitaran hidup, ibarat roda yang sentiasa berpusing pada paksinya. Satu hari nanti, kita pula yang akan ditinggalkan oleh anak-anak, berjauhan dengan cucu-cucu. Saat itu terasalah apa yang telah kita perbuat kepada orang tua kita dulu. Menanti hari-hari tua berlalu tanpa anak dan cucu di sisi.Sekali-sekala dapat berkumpul, cukup membahagiakan. Apapun, mungkin inilah hikmah tuhan, memberi peluang untuk kita beribadat sebanyak-banyaknya lantaran sewaktu muda asyik mengasuh anak-anak.Justeru, bersyukurlah sekiranya Allah masih memberi peluang kepada kita untuk bernafas di bumi yang fana ini.Rebutlah sisa-sisa hidup yang masih tinggal ini dengan amalan soleh. Mudah-mudahan beroleh husnul khatimah dan dijauhkan suul khatimah. Amin.

Banjir

Banjir datang lagi.Ujian daripada Allah untuk manusia, agar kita berfikir. Walau apa pun,bersyukurlah, Allah hanya menguji kita dengan air, berbanding saudara kita di sana. Mereka dibanjiri peluru, air mata, darah, ketakutan, kelaparan dan bermacam-macam derita yang kalau kita bayangkan pun tak termampu menanggungnya. Justeru, banjirkanlah mereka dengan doa kesejahteraan, sebagai jihad di kejauhan. Mudah-mudahan Israel laknatullah cepat binasa. Ingatlah, sesungguhnya janji Allah itu benar.

Usaha

Kita akan dapat hasil atas apa yang kita perbuat. Jika kita tak berpeluang mendapatnya di dunia, kita akan mendapatnya di akhirat.

Usaha dan Tawakkal

Allah dah janji sesiapa yang berusaha, tak kira dia agama apapun, sembahyang atau tidak, asalkan dia usaha, akan berjaya. Sebab itu ada orang berjaya dan kaya kerana mereka berusaha. Walaubagaimnapun, kekayaan mereka tidak dapat membeli syurga Allah kerana mereka tidak sembahyang. Kekayaan itupun sebenarnya Allah yang beri. Itulah bezanya antara orang yang berusaha tapi tak sembahyang dengan orang yang berusaha dan sembahyang. Orang yang berusaha dan sembahyang akan mendapat kasih sayang Allah, tapi orang yang berusaha tapi tak sembahyang tidak akan mendapat kasih sayang Allah kerana kasih sayang Allah itu tidak ternilai harganya. Hanya orang yang sembahyang dan berbuat kebaikan layak mendapatnya.
Justeru, jangan mudah berputus asa kalau kita telah berusaha tapi tidak berjaya, anggaplah itu ujian Allah. Sembahyang dan berdoalah banyak-banyak , mudah-mudahan Allah akan memberi ganjaran /kejayaan kepada kita, kalau bukan di dunia, di akhirat. Ada orang yang mendapatnya di dunia, ada orang yang mendapatnya di akhirat, ada orang yang mendapat kedua-duanya sekali. Hanya Allah yang tahu hikmah di sebalik pemberian/ganjaran itu. Cepat atau lambat, itu terpulanglah kepada Allah untuk mengurniakannya kerana semuanya hak Allah.